Salam Mujahid,
Hari ini bertarikh 20 Mac 2008 bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1429, merupakan hari bersejarah yang acapkali akan diingati oleh seluruh rakyat Malaysia tidak kita bangsa dan agama. Ini kerana ia merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad saw dan telah menjadi adat di Malaysia untuk disambut dengan percutian selama satu hari sekiranya ia jatuh pada hari bekerja. Sedar atau tidak, Nabi kesayangan kita telah semakin jauh meninggalkan kita. Seiring dengan itu juga, kita melihat secara puratanya umat Islam masih kelihatan masih jauh dari ajaran al-quran dan sunnah(tanpa menafikan telah bermulanya siri kebangkitan Islam di serata dunia). Sedangkan, umat Islam sudah ketahui bahawa Nabi kesayangan mereka itu telah memberi peringatan kepada umat Islam bahawa mereka tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana mereka berpegang kepada ajaran al-quran dan sunnah. Namun begitu, kesan negatif disebalik ‘kecurangan amanah’ yang dilakukan sebahagian umat Islam sejak zaman kegemilangan Islam dahulu telah semakin menular. Akibatnya kita dapat lihat bagaimana golongan bukan Islam memandang negatif terhadap Islam. Islam yang sejahtera ini dikatakan sebagai agama pengganas, Islam yang adil ini dikatakan sebagai agama yang menindas. Ada juga yang mengeluarkan kenyataan bahawa Islam yang di anuti sebahagian besar umat manusia ini merupakan sebuah agama yang bersifat spiritual semata-mata. Pada pandangan mereka, Islam ini sama seperti agama Kristian dan sebagainya. Apabila bercakap tentang hal-hal kenegaraan, mereka berpendapat bahawa Islam tidak perlu masuk campur. Tidak kurang juga yang cuba menyamakan sistem pemerintahan Islam dengan sistem pemerintahan yang pernah dilakukan oleh golongan paderi terhadap masyarakat Eropah yang bersifat menindas dan bertingkahlaku seperti golongan suci atau secara istilahnya disebut ‘Sistem Teokrasi’. Walhal, pemerintahan Islam tidak bersifat begitu. Pemerintahan Islam adalah berasaskan undang-undang dan lunas-lunas yang diajar oleh Allah swt kepada Rasulullah untuk diimplimentasikan di dalam kehidupan manusia. Manusia hanya merupakan pelaksana bagi ketetapan syarak. Suatu perkara yang lebih menyedihkan lagi apabila umat manusia yang mengaku diri mereka sebagai Islam sendiri telah mengenepikan ajaran al-quran dan sunnah sendiri. Dari satu sudut, jika pihak tersebut tidak menerima atau tidak faham tentang sesuatu hukum itu, mereka sepatutnya diam. Akan tetapi, mereka bukan sahaja tidak menerima, malah menghina dan memperlekehkan hukum-hukum Islam.
Akibat daripada peristiwa-peristiwa di atas, sedar atau tidak, umat Islam sebenarnya sedang menjatuhkan agama mereka sendiri. Oleh yang demikian, satu golongan yang benar-benar memahami Islam dan beramal dengan Islam, harus tampil kehadapan untuk membetulkan keadaan tersebut. Tindakan serampang dua mata mesti dilaksanakankan pada masa yang sama, iaitu terhadap umat Islam yang ‘belum sedar diri’ dan juga terhadap umat manusia yang bukan Islam. Persepsi umat bukan Islam terhadap Islam mesti diperbaiki agar tidak terus-menerus berlakunya salah faham mereka terhadap Islam. Setiap lapisan masyarakat muslim, tidak kira sama ada seorang petani, nelayan, peniaga, jurutera, doktor, pemerintah, hatta seorang ahli akademik juga mestilah bersatu untuk membela Islam dan umat Islam. Islam ini bukan hanya untuk satu golongan sahaja, malahislam adalah untuk semua. Setiap umat Islam seharusnya mempunyai pengetahuan yang baik tentang sirah Nabi Muhammad saw dan juga tidak ketinggalan, iaitu ilmu dakwah. Buku ‘Dasar-dasar Dakwah’, karangan Dr Karim Zaidan seharusnya ditelaah isinya di samping buku ‘Jalan Ke Hati’, karangan Abbas As-Saisi.
Suatu perkara yang perlu umat Islam tahu dalam keghairahaan mereka berdakwah ialah cabaran-cabaran yang bakal mereka hadapi. Contoh buku yang menerangkan cabaran-cabaran yang bakal di hadapi seorang da’ie ialah buku ‘Jalan Dakwah’, karangan Ustaz Mustafa Masyhur. Ini bertujuan agar setiap da’ie memahami bahawa jalan dakwah ini adalah jalan yang mencabar dan memerlukan persediaan yang rapi dari segi ilmu pengetahuan tentang Islam dan ilmu-ilmu lain, jasmani yang sihat, emosi yang terkawal dan juga keimanan yang mendalam.
Dalam konteks sebagai mahasiswa, kita dilatih untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Mahasiswa juga merupakan golongan yang bakaal menjadi sebahagian anggota masyarakat yang lebih kompleks dan mencabar. Maka, sebagai mahasiswa Islam, seharusnya kita sudah mula berfikir strategi-strategi untuk digunakan untuk berhadapan dengan pelbagai golongan yang memandang negatif terhadap Islam. Mahasiswa Islam juga harus sedar bahawa dalam usaha untuk menjayakan suatu, memerlukan tenaga kerja dan kepakaran dalam pelbagai bidang. Oleh yang demikian, sebagai langkah awal untuk kita menunjukkan kesungguhan kita dalam usaha mengembalikan kedaulatan Islam di tempat yang sepatutnya, maka mahasiswa Islam harus bersatu dan bekerjasama ke arah kebaikan, bukan sahaja yang bakal dinikmati umat Islam, malah ia turut akan dinikmati oleh yang bukan Islam.
Sebagaai tanda kasih dan sayang kita pada Nabi Muhamad saw dan bersempena memperingati kelahiran Baginda Nabi saw, kita berharap agar mahasiswa Islam bangkit dari tidur yang lena, bangkit dari leka yang lama dan seterusnya bergabung dengan persatuan atau gerakan Islam yang berusaha untuk merealisasikan Islam sebagai cara hidup. Tidak cukup hanya memberikan kritikan dari luar, malah mahasiswa Islam harus mengambil peluang di universiti untuk merasai nikmat perjuangan Islam yang bakal di janjikan syurga oleh Allah swt sebagai pengalaman untuk menyebarkan risalah Islam setelah keluar dari kampus kelak.
Semoga kita termasuk dikalangan hamba-hambanya yang bersyukur dengan nikmat yang kita perolehi.
“PERKASAKAN DIRI, MARTABATKAN ISLAM”
“KATAKAN TAK NAK PADA RIBA”
Filed under: Pendapat | Leave a Comment »
–><!–
–>



