Oleh: Dr. Danial Zainal Abidin
Sumber: Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden (Buku karangannya)
Banyak kes-kes kemalangan dilaporkan berpunca daripada mengantuk kerana kurang tidur. Oleh itu, kerajaan Amerika menubuhkan sebuah yayasan yang bernama Yayasan Tidur Negara atau NationalSleep Foundation bagi mengkaji kaitan antara masalah tidur dengan produktiviti negara. Pada tahun 1995, Jabatan Pengangkutan Amerika melaporka, 100,000 kemalangan jalan raya dan industri di Amerika adalah berkaitan dengan masalah tidur dan ia melibatkan kehilangan 1,500 nyawa setahun. Suruhanjaya khas berhubung masalah ketiduran di Amerika melaporkan, masalah ini menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian sebanyak $100 hingga $150 bilion setahun.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan di Amerika atau National Transportation Safety Board mengenal pasti keletihan dan kurang tidur sebagai punca kemalangan laut yang melibatkan kapal tangki minyak Exxon Valdes pada bulan Mac 1989 dan World Prodigy pada bulan Jun 1989. Tumpahan minyak dari Exxon Valdes mencemari 1770 kilometer pantai Alaska dan tumpahan dari World Prodigy mencemari Narraganset Bay. Ada kemungkinan punca yang sama menyebabkan kemalangan udara yang melibatkan kapal terbang tentera DC-8 di Guantanamo Bay, Cuba, kemalangan nuklear di Three Miles dan Bhopal serta tragedi Kapal Angkasa Challenger. Memang tidak dapat dinafikan, kurang tidur menjejaskan kualiti pekerjaan justeru, menurut Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad berkata,”Apabila salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah dia tidur hingga hilang rasa mengantuknya. Apabila seseorang meneruskan solat ketika mengantuk berkemungkinan ketika sedang membaca istighfar tanpa disedari dia mengutuk dirinya sendiri.”
Islam menyuruh penganutnya tidur dan berehat supaya dengan itu segala ibadah dan aktiviti dapat dilakukan dengan baik. Di dalam sebuah hadis, diceritakan mengenai Abu Darda’ yang tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah secara berterusan. Menurut Bukhari, sahabatnya Salman al-Farisi menegurnya dengan berkata,”Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, badanmu mempunyai hak ke atas kamu, dan isterimu mempunyai hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya.” Semasa Nabi saw mendengar perkataan Salman ini, beliau berkata,”Benarlah Salman.”
Islam menganggap tidur sebagai salah satu ibadah dan menekankan ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Nabi Muhammad saw mementingkan kualiti ketika beramal dan tidur dapat membantu ke arah itu. Menurut Bukhari dan Muslim, Baginda saw pernah memasuki masjid dan ternampak seutas tali merentasi dua tiang. Selepas bertanya, nabi diberitahu tali itu adalah kepunyaan Zainab yang berpaut kepadanya ketika keletihan selepas melakukan solat. Lantas Nabi Muhammad saw berkata,”Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika cergas dan ketika mengantuk pergilah tidur.”
ULASAN AliffBasri: Sahabat-sahabat, dalam konteks hidup sebagai mahasiswa, kita tidak nafikan betapa perlunya mengorbankan waktu untuk menyiapkan ‘assignment’ atau sebarang tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Namun begitu, Islam amat menekankan kualiti ketika beramal. Sebab itulah Nabi menegur para sahabat yang tidak mahu tidur kerana mahu beribadah secara berterusan, walhal tidur juga sebenarnya adalah salah satu ibadah dalam Islam. Oleh itu, semoga kita mendapat tidur yang berkualiti dan dapat meningkatkan produktiviti. Bagaimana hendak mendapat tidur yang berkualiti? Insyaallah, saya akan berkongsi dengan sahabat-sahabat pada ‘posting’ yang akan datang. Semoga tidur kita diterima oleh Allah sebagai amal soleh.
“Jadikan Islam Sebagai Cara Hidup “
“Katakan TakNak Pada Riba’”
Filed under: Perubatan Islam