Islam Jamin Duniawi dan Ukhrawi
![]() |
|
Mariah bersama suaminya yang banyak membantu mendalami Islam sebelum dan selepas penghijrahannya.
|
Sumber: www.utusan.com.my
WALAUPUN usia penghijrahannya belum pun menjangkau setahun tetapi jika dilihat daripada penampilan dan peribadinya, ia seolah-olah telah lama sebati dalam dirinya.
Menurut Maria a/p Bah Ujek, sebenarnya Islam itu telah lama dekat dengan dirinya. Ini kerana, sejak menuntut lagi, dia telah banyak bergaul dan bercampur dengan rakan-rakan yang beragama Islam.
“Semasa saya dihantar untuk menjalani latihan praktikal di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), saya menyewa dan tinggal serumah dengan orang Islam.
“Kebetulan pula rumah tersebut berhampiran dengan surau dan tiap-tiap hari saya akan mendengar azan dari surau berkenaan. Dari situ, bermulalah detik baru dalam hidup saya,” ujarnya tersenyum.
Tambah wanita berusia 22 tahun ini, oleh kerana selalu melihat rakan-rakannya menunaikan solat, hatinya juga telah terbuka dengan agama yang suci ini.
Katanya, selain itu, dia juga seronok melihat rakan-rakannya hidup di dunia ini yang mempunyai pegangan dan agama, berlainan sekali dengan dirinya pada ketika itu.
“Saya sebelum ini tidak mempunyai apa-apa pegangan agama, jadi ini sedikit sebanyak memudahkan saya menerima sesuatu yang baru dalam diri dan tidak perlu untuk membandingkannya dengan agama yang lain.
“Kehidupan saya sebelum Islam juga seperti biasa dan tidaklah sosial dan saya sentiasa berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam perkara yang tidak baik.
“Walaupun tidak mempunyai pegangan agama, ini tidak bermakna ia memberi peluang untuk saya melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Peribadi saya sebelum dan selepas Islam adalah sama cuma yang membezakan saya sekarang ialah agama yang saya anuti,” jelasnya yang kini selesa menggunakan nama Islamnya, Nur Mariah Bah Ujek.
Jelas bekas penuntut Kolej Pergigian Antarabangsa Pulau Pinang ini lagi, pengislamannya ini tidak mendapat banyak tentangan daripada ahli keluarganya.
“Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana niat suci saya ini tidak mendapat halangan keluarga cuma mereka menasihatkan saya supaya bersungguh-sungguh dan jangan hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.
“Mereka takut saya tidak biasa dengan agama ini kerana sebelum ini kami tidak mempunyai pegangan dan tidak ada apa-apa yang menghalang kami.
“Jadi, mereka takut saya kembali kepada pegangan asal saya sebelum ini. Oleh itu, tugas saya pada ketika itu adalah memberi penerangan kepada mereka tentang agama ini dan saya bersungguh dengan penukaran agama ini.
“Akhirnya mereka setuju. Walaupun sedikit terkejut tetapi mereka menerimanya dengan rela hati,” ujar anak kelahiran Tapah, Perak ini.
Dia yang ditemani suaminya ketika ditemui di bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menjelaskan bahawa dirinya kini mendapat lebih ketenangan setelah mengucap dua kalimah syahadah pada 6 September 2007 lalu.
“Dalam Islam, kita tahu bahawa apa yang kita lakukan pasti ada garis panduannya agar kita tidak terkeluar dari landasannya. Itulah yang menjadikan masa depan saya lebih terjamin.
“Saya tidak pernah menjadikannya sebagai halangan dan rintangan buat saya untuk menjadi Muslim yang sejati. Itu semua membuatkan saya berasa lebih seronok dan tenang dalam agama ini,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Jamal Pathudin, petugas HUKM.
Kata Nur Mariah, suaminya banyak membantu dan memberi galakan kepadanya dalam mendalami agama Islam ini.
“Saya berkenalan dan berjumpa dengannya ketika melakukan latihan praktikal di HUKM. Pada waktu itu, suami adalah pekerja di hospital berkenaan.
“Apabila dia tahu tentang niat saya dan pengislaman ini, dia membelikan banyak buku agama untuk saya dan selepas berkahwin, dia sentiasa menemani saya setiap kali saya menghadiri kelas-kelas agama.
“Sebelum berkahwin, saya banyak belajar solat melalui buku panduan yang dihadiahkan olehnya. Namun setelah mendirikan rumah tangga, suami menghantar saya untuk menghadiri kelas-kelas agama seperti di Perkim ini dan di Sekolah Yayasan al-Quran untuk belajar Iqra’, solat dan fardu ain,” jelas anak kesembilan daripada 11 beradik ini lagi.
Menurut Mariah lagi, rakan-rakannya juga banyak mengajarnya dan memberitahu serba sedikit mengenai Islam.
“Apabila saya mengadu kepada mereka masalah-masalah yang saya hadapi, mereka banyak menitipkan nasihat-nasihat yang berguna dan selalu mengaitkannya dengan Islam.
“Jika dulu, rakan-rakan tempat saya mengadu tetapi kini pada-Nya saya mengadu selain kepada suami,” ujarnya tersenyum memandang suami tercinta.
Akui Pembantu Pembedahan Pergigian di Seremban ini lagi, puasanya yang baru lepas juga tidak mempunyai masalah walaupun pada ketika itu dia baru sahaja memeluk Islam.
“Saya telah mula belajar berpuasa melalui rakan-rakan. Kali pertama puasa, ia sangat meletihkan dan saya rasa ia sangat susah. Pada waktu itu, lebih kurang seminggu sahaja saya berpuasa.
“Tetapi sekarang alhamdulillah. Saya bersyukur kerana cubaan berpuasa sebelum Islam membolehkan saya menghabiskan puasa dengan baik dan tanpa halangan seperti orang lain.
“Saya berharap penghijrahan ini akan memberi saya seribu kemanisan dan ditetapkan hati untuk terus berada dalam agama ini,” katanya.
ULASAN: Semoga kita lebih menghargai Islam…..
Filed under: Saudara Baru
