Pelaburan ASN dan ASB Hukumnya Harus-Jawatankuasa Fatwa

Sumber asal artikel: http://pelaburanislam.com 

KUALA TERENGGANU 3 Feb – Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam hari ini memutuskan bahawa hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah harus.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata, hukum bagi pembayaran dividen hasil pelaburan kedua-dua skim berkenaan juga adalah harus.

“Dengan sebab itu kita merasakan bahawa masyarakat Islam tidak perlu ragu-ragu lagi terhadap status melabur di dalam skim ASN dan ASB,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-80 di sini hari ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Jawatankuasa Fatwa, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Sumber : Utusan Malaysia

Ulasan Ustaz Zaharuddin

Ramai yang bertanya respond saya, ada yang suka dan ada yang keliru. Apa pandangan saya?, Pandangan saya adalah anda tidak perlu keliru lagi dan orang awam boleh menyertainya dan Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor yang dipimpin oleh bekas Muftinya iaitu Al-Marhum Dato’ Hj Ishak Baharom telah terbatal akibat keputusan ini.

Orang ramai adalah harus menyertai ASB dan ASN disebabkan majlis fatwa kebangsaan telah mengesahkan kehalalannya dan menanggung apa jua urusan berkaitannya di dunia dan akhirat. Ini adalah satu perkara biasa yang ditanggung oleh para ulama, sama juga seperti Majlis Penasihat Shariah yang ada di Institusi Kewangan Islam.

Kesannya, apabila telah wujud fatwa umum sebegitu, kini ia terpulang kepada masing-masing untukmembuat keputusan sendiri, ia sama seperti logo JAKIM. Siapa yang ingin bergantung kepadanya, adalah harus dan siapa yang ingin membuat kajian lanjut dan bersikap lebih berhati-hati, pandai-pandailah memilih yang lebih selamat. Itu saja.

Saya juga telah hubungi seorang S.S Mufti, beliau kata hujjah utama Majlis Fatwa adalah “MASLAHAT”. Ini beerti majlis fatwa bukannya mengesahkan sistem dan cara pelaburan ASB dan ASN yang sedia ada tetapi ia diluluskan atas dasar ‘Maslahat’ atau kepentingan ramai (mungkin kerana terlalu ramai orang Islam yang telah terlibat dan fatwa mengharamkan akan mengakibatkan kekalutan yang tidak tergambar), hasilnya ia difatwakan harus. Apa lagi ingin dikatakan jika itu hujjahnya.

Namun begitu, perlu diingat sepatutnya Maslahat ini sepatutnya adalah suatu tekanan yang amat sukar untuk kita hindarinya disebabkan ia bukan di dalam bidang kuasa kita, seperti penggunaan ‘fiat money’ yang tidak disandarkan kepada emas dewasa ini. Ini benar-benar dianggap maslahat kerana Malaysia sahaja tiada kuasa untuk influence dunia dalam hal ini, malah sistem ekonomi dunia sekarang ini amat sukar dibentuk menuruti corak yang dikehendaki oleh Islam.

Adapun, dalam perkara yang kita sendiri ada kuasa untuk mengubah dan menukar sendiri kerana ia dalam milik dan kekuasaan kita, dan kita yang awal-awal dahulu menyertai atau menganjurkan sebelum menyemak status Shariahnya, kemudian apabila sudah terhantuk baru ingin berselindung di balik hujjah maslahat. Tatakala itu, menggunakan maslahat sebagai hujjah amat boleh diperdebat dan dipertikai kerana kita sendiri berkuasa mengubah sistemnya (jika kita inginkan), walaupun jika ubah secara beransur-ansur.

Jika dinyatakan “mana nak letak dana berbillion jika dikeluarkan?”. Jawabnya tak perlu keluarkan tapi adjust aqadnya biar tepat dengan third party guarantee. Betulkan cara pembahagian untungnya, nisbah pelaburan di tempat yang haram digunakan buat manfaat umum seperti highway tanpa toll, manakala pelaburan halal di serahkan kepada individu pelabur dan macam-macam lagi cara. Jangan malas berfikir jika ingin selamat di akhirat kerana Islam agama membaca dan berfikir. Al-Quran dimulakan dengan “Iqra’

Saya akui di sana ada maslahat kerana begitu ramai yang terlibat dan jumlah wang yang terlibat begitu besar, tapi tiada maslahat untuk terus menggunakan sistem sedia ada kerana ia boleh diubah seperti apa yang sebut di atas., biar untungnya berkurangan sedikit asalkan halal dan berkat.

Mufti yang saya hubungi juga berkata ahli majlis fatwa berjaya dipengaruhi dengan alasan, sebab yang disampaikan oleh wakil PNB yang membentang. Namun begitu, mufti ini memaklumkan kepada saya pihak PNB disyaratkan menubuhkan majlis Shariah khusus untuk mereka sebagaimana bank-bank Islam dan takaful. Ini satu perkembangan yang bagus!!..

Saya dan kita mengharapkan majlis Shariah akan datang ini akan dapat membuat sesuatu perubahan dan pembaikan terhadap sistem yang sedia dengan ‘modification’ yang wajar bagi memastikan sistem yang menepati Shariah. Tatkala itu ia tidak perlu lagi menjadi ‘harus’ atau ‘halal’ hanya bergantung kepada hujjah ‘MASLAHAT’ yang agak longgar.

Akhirnya, tiada halangan sesiapa yang ingin terima atau tolak ulasan saya. Tidak perlu diluahkan kata benci dan marah, saya cuma nak tolong beri nasihat.

Bila 37 % di letakkan di tempat yang amat jelas haramnya.ia pasti ada hasil dalam dividen anda. Nabi s.a.w kata :-

Ertinya : Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil dari yang haram) (Ar-Rawdu Al-Murabba’, 2/30 ; Riwayat Ibn Hibban, 11/312)

Jika dikatakan kita perlu jaga maslahat kebaikan yang terhasil ini, maka kita juga perlu sedar 37 % itu menyokong industri riba dan mengukuhkannya. Kaedah Fiqh menyebut :-

Ertinya : “Sesungguhnya menolak keburukan itu lebih patut didahulukan dari tujuan untuk mendatangkan kebaikan”  ( Al-Muwafaqat, As-Syatibi, 3/190 ; Hasyiah S-Syarwani, 3/188)

Sumber : Zaharuddin.net

PAS, DAP dan KeADILan setuju tubuhkan Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 April (Hrkh) – Pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti KeADILan, DAP dan PAS bersetuju menubuhkan Pakatan Rakyat, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pagi ini, kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim. <!––><!––>

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Anwar itu turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah serta delegasi masing-masing.

Mesyuarat hari ini mencadangkan untuk memantapkan kerjasama di atas nama Pakatan Rakyat dan nama ini akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan jawatankuasa pusat masing-masing dalam masa yang terdekat.

“Pakatan Rakyat berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Dengan keputusan ini, bermakna kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor nanti akan dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat,” jelas Anwar.

Beliau berkata, dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar yang akan ditentukan dalam gagasan Pakatan Rakyat.

Beliau menambah, ketiga-tiga parti akan bermesyuarat di peringkat jawatankuasa masing-masing bagi mengemukakan cadangan kepada sekretariat bersama Pakatan Rakyat yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, bagi memantapkan pemahaman semua dasar yang akan dibentangkan wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) ketiga-tiga parti akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008, di sebuah lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

Matiku hanya untuk Islam…

“”Wahai Ikhwan ! Sesungguhnya umat yang mengelokkan proses kematiannya dan tahu bagaimana untuk mati secara mulia,Allah akan mengurniakan kepada umat tersebut kehidupan yang mulia ini dan nikmat yang berkekalan di akhirat kelak.Tidak ada kelemahan yang menghinakan kita selain dari cintakan dunia dan bencikan mati.Siapkanlah diri kamu melaksanakan tugas yang besar.Gemarilah kematian,kelak kamu dikurniakan dengan kehidupan,berusahalah kamu untuk mengecap kematian yang mulia,kamu pasti mendapat kebahagiaan yang sempurna.Semoga Allah mengurniakan kepada kami dan kamu semua kemuliaan mati syahid di jalanNya”

(Imam Hasan al-Banna)

p/s: Sekadar renungan dan tazkirah buat para pejuang Islam….

Sumber: http://www.ruhulkifah.blogspot.com

Mahasiswa Islam Vs. Mahasiswa Biasa

Salam Mujahid,

Mahasiswa merupakan segolongan ahli masyarakat yang diberi peluang oleh Allah swt untuk meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. Ia juga merupakan sekumpulan masyarakat yang kecil di dalam sesebuah IPT. Dikalangan mahasiswa sendiri terdapat pelbagai golongan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ini sebenarnya memberi peluang kepada mahasiswa itu sendiri untuk mempelajari bagaimana untuk mempelajari cara berhadapan atau bergaul dengan pelbagai jenis manusia.

Walau bagaimanapun, di mana-mana IPT, mahasiswa dapat dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Di antara ‘lebalan’ yang pernah didengari dan diberikan kepada mahasiswa adalah seperti ‘mahasiswa lesu’, ‘mahasiswa progresif’, ‘mahasiswa sedar’ dan ‘mahasiswa Islam’, Ini hanya di antara contoh-contoh gelaran atau ‘lebalan’ yang diberikan kepada golongan mahasiswa di kampus. Pada tulisan kali ini, ingin saya membawa rakan mahasiswa untuk memahami tentang tanggungjawab sebagai Mahasiswa Islam. Klasifikasi saya berkaitan dengan Mahasiswa Biasa ialah golongan mahasiswa yang tidak dinafikan kesadaran mereka terhadap isu-isu semasa sama ada berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan segala isu yang berkaitan dengan tanah air tercinta mahu pun isu sejagat seperti isu palestin, kesan rumah hijau dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kesedaran mereka masih belum mencapai tahap di mana mereka mampu dan seterusnya bersama-sama dengan golongan mahasiswa yang optimis dan konsisten dalam usaha melakukan sesuatu untuk merubah sesuatu yang dilihat bertentangan dengan keadilan sejagat, apatah lagi yang bertentangan dengan prinsip Islam walaupun pada masa yang sama mereka sedar tanggungjawab mereka sebagai mahasiswa iaitu menuntut ilmu (akademik).

Apabila bercakap tentang Mahasiswa Islam, saya merujuk kepada konsep asas pembentukan sebagai individu muslim yang menuntut pengislahan diri sebagai permualaan untuk melakukan pengislahan ke atas keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya. Mahasiswa Islam perlu menyedari bahawa dalam usaha untuk mendaulatkan Islam, ‘batu-bata’ atau tenaga pejuang mestilah kental dan bersedia dari segi intelek, emosi, jasmani dan yang paling penting ialah spiritualnya. Kerana dengan kemantapan dan kedalaman iman di hati Mahasiswa Islam, nescaya mereka dapat mengarungi segala mehnah dan tribulasi yang bakal mereka tempuhi kelak.

Bagaimana hendak memiliki jiwa yang kental dan persediaan yang rapi?

Mahasiswa Islam harus menjalani proses tarbiyyah yang berterusan. Saya teringat kuliah Ustaz Nik Abduh ketika program Himpunan Mahasiswa Islam Sabah (HAMAS), beliau membahagikan jenis tarbiyyah itu kepada enam cabang iaitu tarbiyyah imaniyyah, tarbiyyah amal soleh, tarbiyyah ruhiyyah, tarbiyyah jihadiyyah, tarbiyyah jama’iyyah dan tarbiyyah siyasiyyah. Dalam proses melahirkan Mahasiswa Islam yang sempurna dari segenap aspek, setiap cabang tarbiyyah ini perlu dititik beratkan agar seimbang dan tidak berat sebelah. Dan sebagai ahli gerakan Islam, Mahasiswa Islam seharusnya sentiasa mengambil berat soal tarbiyyah dan sudah semestinya mengikuti program-program yang telah ditetapkan oleh organisasi. Jangan pula menganggap bahawa program-program tarbiyyah itu sebagai bebanan pada diri Mahasiswa Islam. Sebaliknya, jadikanlah ia sebagai usaha untuk mendekatkan diri kita kepada Kekasih Agung dan seterusnya memohon pada-Nya agar dapat memberikan kekuatan untuk istiqamah dalam perjuangan. Umum mengetahui bahawa perjuangan Islam itu adalah panjang dan memerlukan stamina yang panjang dan oleh kerana itulah, program-program tarbiyyah diatur untuk menyediakan tentera-tentera yang benar-benar faham erti perjuangan dan sedia bekorban untuk Islam.

Pasca perjuangan Mahasiswa Islam pada hari ini adalah lebih mencabar. Mahasiswa Islam perlu sedaya-upaya untuk memperkasakan diri dengan kemahiran insaniyyah(softskill) di samping mengikuti program-program tarbiyyah yang ada. Kemahiran berucap, menulis, berhujah dan kemahiran IT perlu ditajamkan oleh setiap Mahasiswa Islam. Kedua-dua aspek tersebut iaitu menghadiri program-program tarbiyyah dan pemerkasaan kemahiran insaniyyah perlulah dilakukan oleh Mahasiswa Islam dalam usaha melahirkan mahasiswa yang berkualiti. Ia sudah semestinya akan digandingkan dengan akademik yang cemerlang. Kepakaran dalam bidang masing-masing harus dinilai dalam konteks ingin mengaplikasikan kepakaran tersebut demi melihat kecemerlangan ummah. Oleh itu, kepakaran mesti diperolehi oleh Mahasiswa Islam. Mahasiswa Islam juga mesti peka dengan isu-isu semasa berkaitan dengan isu umat Islam di luar dan dalam negara serta isu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Kesimpulan

Inilah di antara tanggungjawab yang mesti dipikul oleh Mahasiswa Islam yang agak berbeza dengan Mahasiswa Biasa. ‘Mindset’ perlu ditukar daripada seorang Mahasiswa Biasa kepada seorang Mahasiswa Islam yang sedar akan tanggungjawab besar yang sedang dipikul. Program tarbiyyah wajib dihadiri disamping pemerkasaan kemahiran insaniyyah yang perlu dilakukan oleh Mahasiswa Islam. Juga tidak lupa kepada penguasaan dalam jurusan yang sedang dipelajari oleh setiap Mahasiswa. Semua ini dilakukan tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai persediaan untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia. Islam yang disalah fahamkan oleh sesetengah pihak mesti perbetulkan. Dakwah Islam mesti diperluaskan dan masyarakat perlu didekati. Semoga Mahasiswa Islam yang diredhai Allah akan lahir disetiap IPTA/s seluruh Malaysia.

Sekadar perkongsian pendapat dan saranan…

“ISLAM UNTUK SEMUA”

“HATI TENANG TANPA RIBA”

Apa sudah jadi pada ‘Pendukung Rukun Negara’?

Salam Mujahid,

 Sehingga hari ini, barisan kabinet Negeri Terengganu masih belum di putuskan walaupun sudah hampir 3 minggu Pilihanraya Umum ke 12 telah berlalu. Di negeri-negeri lain di Malaysia, setiap Ketua Menteri atau Menteri Besar telah dilantik atau telah menerima watikah perlantikan daripada TYT atau Sultan bagi setiap negeri masing-masing. Sebagai contoh, di negeri Perak, 3 nama telah diberikan kepada Pemangku Sultan iaitu Raja Nazrin untuk ditentukan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar Perak yang ke-10. Alhamdulillah, Raja Nazrin telah memilih YB Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar perak yang baru. Walaupun pada mula perlantikan YB Nizar, terdapat sedikit salah faham antara barisan kepimpinan dari DAP, namun akhirnya mereka akur dengan keputusan Raja Nazrin untuk menaikkan YB NIzar sebagai MB Perak yang merupakan pemimpin bagi seluruh rakyat Perak yang berbilang bangsa dan agama. Harapan kita semoga YB Nizar dan barisan kepimpinan Negeri Perak yang baru dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengn cemerlang, insyaallah. Inilah contoh kepimpinan yang ikhlas untuk pembangunan masyarakat di Perak.

Tetapi, apa yang sedang berlaku di Terengganu? Sudah hampir 3 minggu PRU berlalu, namun sehingga sekarang, barisan kepimpinan baru yang sah belum tertubuh. Malah perlantikan MB terengganu yang baru masih menjadi tanda tanya. Di gemparkan lagi dengan berita bahawa Umno yang memperjuangkan bangsa melayu, yang amat menekankan pengaplikasian RUKUN NEGARA yang ada lima itu, telah bertindak seolah-olah menafikan hak Sultan yang diberikan oleh undang-undang agar bakal-bakal menteri besar mestilah diperkenankan oleh TYT atau Sultan bagi negeri masing-masing. Malah YB Ahmad Said yang diperkenankan Sultan Terengganu itu juga sedang berada di dalam pemerhatian pimpinan UMNO untuk di ambil tindakan kerana menerima watikah perlantikan yang pada masa yang sama, ahli-ahli UMNO yang menang tidak menyokong perlantikan tersebut. Apa sudah jadi?

Adakah UMNO hendak menjadikan para Sultan hanya sebagai boneka semata-mata, yang hanya menerima apa sahaja yang dipersetujui oleh parti Umno mereka? Di mana letaknya penghormatan mereka pada Sultan? Pendek kata, di mana mereka meletakkan RUKUN NEGARA yang ke dua( Kesetiaan kepada Raja dan Negara)? Pada pandangan saya, ada suatu sebab mengapa Sultan tidak perkenan perlantikan YB Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu. Apa sebabnya? mungkin hanya pihak Istana dan UMno sendiri yang tahu. Begitu juga dengan Perdana Menteri kita, Pak Lah. Mengapa dia benar-benar inginkan YB Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu? Hanya Umno yang tahu mengapa.

Walau apa pun, diharapkan negeri Terengganu akan mendapat Menteri Besar yang benar-benar ikhlas dalam mentadbir negeri Terengganu. Bukannya pemimpin yang gilakan kuasa dan sanggup buat apa sahaja untuk di iktiraf sebagai pemimpin. Diharapkan juga, pimpinan UMno menilai semula keputusan mereka untuk memboikot majlis Angkat Sumpah dan keputusan mereka yang bertentangan dengan perkenan Istana Terengganu. Sama-sama kita fikirkan, adakah tindakan Umno ini semua melambangkan prinsip mereka yang dikatakan menjunjung RUKUN NEGARA?

Sekadar pandangan dan analisis ringkas….

“ISLAM UNTUK SEMUA”

uNIVERSITI Pentas Mahasiswa Berpencak

Oleh: Mahasiswa Kampus Universiti Malaya

Sumber: http://kampusnegara.net 

Mahasiswa Menggugat

Artikel ringkas ini ditulis untuk membetulkan persepsi terhadap peranan universiti dan mahasiswa. Dari pandangan sempit kepada paradigma yang lebih mendasar dan menyeluruh. Dari itu, mahasiswa akan lebih sedar bahawa kehadiran mereka di univeristi bukan semata-mata untuk menaiki pentas konvokesyen selepas bergraduasi, tapi supaya mereka bersiap untuk berpencak di pentas masyarakat yang sebenar.

Pengenalan alam universiti

Sebelum meneruskan bicara, suka untuk penulis mulakan dengan petikan kata-kata tokoh yang menggambarkan pandangan, kritikan dan harapan terhadap mahasiswa dan universiti:

“Sekalipun usaha-usaha pelajar patut diberi pujian, saya berharap persatuan pelajar patut memikirkan soal melibatkan gerakannya kepada kebajikan umum yan merangkumi bidang-bidang yang luas”
- Datuk Alexander Oppenheim, bekas Naib Canselor Universiti Malaya

“Universiti yang baik adalah universiti yang menggambarkan dan mencerminkan masyarakat luar”
- Prof. Diraja Ungku Aziz, bekas Naib Canselor Universiti Malaya

“Kegiatan universiti yang sebenar menjadikan universiti sebagai rujukan masyarakat dalam pembinaan ummah”
- Prof Shaharir, bekas Timbalan Naib Canselor UKM

Kesemua tokoh ini memberikan gambaran tentang peri pentingnya peranan universiti terhadap masyarakat dan kepentingan mahasiswa memainkan peranan untuk menterjemahkan peranan universiti yang sebenar. Universiti berdiri atas nilai intelektualisme dan keilmuan. Maka atas nilai ini jugalah universiti sewajarmya memainkan peranan dalam mendidik masyarakat kearah membina generasi yang lebih baik.

Universiti bukanlah seperti sebuah sekolah, yang peranan pelajar di dalamnya hanya belajar untuk lulus peperiksaan dan mendapatkan sijil. Lebih dari itu, universiti berperanan mendidik mahasiswa khususnya dan masyarakat luar umumnya secara akademik dan intelek, agar tahun-tahun yang mendatang akan menampilkan satu generasi yang lebih berkualiti dari generasi sebelumnya. Besarlah harapan mereka yang berjiwa besar untuk melihat insan-insan yang mereka didik akan mejadi lebih berjaya dari diri mereka sendiri.

Universiti juga merupakan alam transisi bagi mahasiswa, dari zaman ‘budak-budak’ kepada alam realiti dunia sebenar. Dari individu yang hanya tahu memikirkan tentang diri sendiri kepada individu yang cakna (sikap mengambil tahu) kepada ummah. Dari individu yang tidak dilengkapi sebarang kemahiran kepada individu yang memiliki pakej lengkap untuk dicampakkan ke medan tempur. Dari individu yang hidup dalam dunia sendiri kepada individu yang hidup dengan dunia yang sebenar, bahkan mereka menghidupkan dunia itu bertunjangkan nilai-nilai keilmuan. Maka, universiti yang sebenar patut memiliki pakej yang sesuai untuk me’mahasiswa’kan mahasiswa.

Pengenalan alam mahasiswa

Mahasiswa adalah unit penting bagi sesebuah universiti. Tanpa mahasiswa, maka tidak akan universiti. Mahasiswa merupakan golongan yang tertanggung di pundak mereka tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat penubuhan sesebuah universiti.

Maksudnya, mahasiswa tidak boleh hanya dibiarkan dalam dunia akademik semata-mata, sebaliknya perlu diberikan pendedahan tentang alam realiti kehidupan dan dilengkapkan dengan segala macam kemahiran. Pembinaan kemahiran ini bukanlah sekadar ’suka-suki’ atau hanya untuk mencukupkan syarat akademik, sebaliknya ia memiliki objektif yang futuristic untuk mencapai visi dan misi penubuhan universiti. Produk-produk kelahiran universiti diharap tidak hanya sekadar memenuhi ruang-ruang kosong alam kerjaya, bahkan mereka dapat membimbing dan memimpin masyarakat keluar dari kepompong sempit kepada masyarakat yang berkesedaran dan terdidik.

Untuk memastikan produk sesebuah universiti itu berkualiti, maka proses penghasilannya sangat penting. Proses yang dimaksudkan adalah bagaimana mahasiswa dibentuk dan dicanai dari sudut minda dan kemahiran mereka sepanjang tempoh mereka berada di universiti. Alam mahasiswa di universiti merupakan medan latihan (training ground) yang terbaik. Mereka perlu ditempa dan dicanai dengan segala macam kemahiran, dibekal dan ditiupkan dengan semangat juang disertai dengan pembongkaran bedah siasat social agar mereka mampu mengaplikasi kemahiran yang mereka ada sesuai pada tempatnya.

Antara impian dan realiti: pilih untuk me’realiti’kan impian.

Namun, realiti universiti dan mahasiswa sekarang ini seolah-olah sangat jauh dari apa yang diimpikan. Ini bukan masalah impian ini hanya fantasi yang tidak realistik, tetapi realiti yang berlaku ini yang tersasar jauh dari matlamat. Mahasiswa dilihat hanya perlu menamatkan pengajian 4 tahun sarjana muda dengan belajar dan menyiapkan assignment, kemudian mengisi ruang-ruang kerja kosong di pasaran. Titik. Cukupkah begitu? Tidak!

Realiti yang berlaku berpunca dari pelbagai faktor. Baik dari sudut dalaman mahupun luaran dari dunia universiti dan mahasiswa. Walau apapun punca masalah yang berlaku, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk terus membiarkan univesiti dan mahasiswa terus dibelenggu dengan sindrom kaku, lesu dan beku. Langkah perlu diambil bagi membaikpulih senario ini.

Oleh itu, mahasiswa perlu bertindak proaktif. Adalah mustahil untuk mengharapkan semua mahasiswa bertindak. Oleh itu, mahasiswa yang berkesedaran perlu memainkan peranan, menongkah arus lesu alam mahasiswa untuk mencipta arus dan gelombang baru. Arus dan gelombang baru ini diharapkan agar dapat meletakkan alam universiti dan mahasiswa kembali ke jalan yang sepatutnya. (keep on track).

Susah? Kurang tenaga? Tiada idea? Banyak cabaran? Itu semua alasan.

“Most of the important things in the world have been accomplished by people who have kept on trying when there seemed to be no hope at all.”(Dale Carnegie)

The only thing necessary for the evil to triumph is good man to do nothing!

Ulasan AliffBasri: Jangan kita rasa menyesal apabila kita keluar kampus nanti, seolah-olah tidak berlaku peningkatan kualiti diri dari segi kepimpinan, ilmu pengetahuan dan segala ’softskill’ yang sepatutnya kita dapati selama berada di kampus. Juga dari segi pemikiran, sepatutnya kita lebih mengenali Islam yang kita anuti dan mampu menyampaikan Islam pada orang lain. Bak kata sahabat saya, akhi syukri: “jika kita buat program(program Islam), tapi orang tak hadir, maka jangan mudah-mudah menyalahkan orang tersebut. Ini mungkin kerana mereka tidak suka Islam yang kita bawa dan mereka suka Islam yang orang lain bawa.”Persoalannya di sini, cuba kita koreksi diri, adakah benar Islam yang kita bawa? atau seangkatan dengan Islam Hadhari?;) Perlu diketahui di sini bahawa pandangan ini bukan bermaksud kita menafikan bahawa hidayah adalah milik Allah, cuma ia lebih berkonsep untuk kita bermuhasabah diri. Sama-sama kita renungkan.
“ISLAM UNTUK SEMUA”
“HATI TENANG TANPA RIBA”

 

 

Sifat Orang Mukmin

Sumber:www.raudhah.com

Terdapat riwayat yang sahih bahawa Rasulullah saw bersabda ertinya:

“Sesungguhnya seorang mukmin tercipta dalam keadaan Mufattan(penuh cabaran), Tawwab(senang bertaubat), dan Nassaa;(suka lupa),(tetapi) apabila diingatkaan ia segera ingat.”(Silsilah Hadis Sahih no. 2276)

Hadis ini merupakan hadis yang menjelaskan sifat-sifat orang mukmin, sifat-sifat yang sentiasa melekat dan menyatu dalam diri mereka, tiada pernah lepas hingga seolah-olah pakaian yang selalu menempel pada tunuh mereka dan tidak pernah terpisah dari mereka.

Mufattan

Bererti orang yang diuji(diberi cubaan) dan banyak ditimpa fitnah. Atau(orang mukmin) adalah orang yang waktu demi waktu selalu diuji oleh Allah dengan bala(bencana dan dosa-dosa). (Faid-Qadir 5/491)

Dalam perkara ini, fitnah(cubaan) itu akan meningkatkan keimanannya, memperkuat keyakinannya dan akan mendorong semangatnya untuk terus menerus berhubungan dengan Allah swt, sebab dengan kelemahan dirinya, ia menjadi tahu betapa Maha Kuat dan Maha Perkasanya Allah, Rabbnya. Menurut sebuah riwayat dalam sahih Bukhari dan Muslim, sesungguhnya Nabi saw bersabda ertinya:”Perumpamaan orang mukmin ibarat sebatang pokok yang lentur diumbang-ambing angin, kadang-kadang hembusan angin merobohkannya, dan kadang-kadang meluruskannya kembali. Demikianlah keadaannya sampai ajalnya datang. Sedangkan perumpamaan seorang munafik, ibarat pokok yang kaku, tidak bergerak oleh terpaan apa pun hingg (ketika) tumbang, tumbangnya sekaligus.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Ya, demikianlah sifat seorang mukmin dengan keimanannya yang benar, dengan tauhidnya yangt bersih dan dengan sikap iltizam(keazaman)nya yang bersungguh-sungguh.

Tawaab Nasiyy

Ertinya: Orang yang bertaubat kemudian lupa, kemudian ingat, kemudian bertaubat.(Faid-Qadir 5/491)

Seorang mukmin dengan taubatnya, bererti telah mewujudkan makna salah satu sifat Allah swt, iaitu sifat yang terkandung dalam namanya: al-Ghaffar(Zat yang Maha Pengampun). Allah swt berfirman ertinya: “Dan sesunggunya Aku amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.”(Taaha: 82)

Apabila Diingatkan, Ia segera Ingat

Ertinya: Bila diingatkan tentang ketaatan, ia segera bergegas melompat kepadanya, bila diingatkan tentang kemaksiatan, ia segera bertaubat daripadanya, bila diingatkan tentang kebenaran, ia segera melaksanakannya, dan bila diingatkan tentang kesalahan, ia segera menjauhi dan meninggalkannya. Ia tidak sombong, tidak besar kepala, tidak bongkak dan tidak tinggi hati, tapi ia rendah hati kepada saudara-saudaranya, lemah-lembut kepada sahabat-sahabatnya dan ramah-tamah kepada teman-temannya, sebab ia tahu, inilah jalan Ahlul Haq(pengikut kebenaran) dan jalannya kaum mukminin yang solihin.

Terhadap dirinya sendiri ia berbatin jujur serta berpenampilan luhur, sedangkan terhadap orang lain ia berperasaan lembut dan berakhlak mulia, bersuri tauladan kepada insan tauladan paling sempurna iaitu Rasulullah saw, yang telah diberi wasiat oleh Rabbnya dengan firmannya, ertinya: “Maka dengan sebab rahmat(yang melimpah-limpah) dari Allah(kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka(sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar dan keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka(mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan(peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam(sesudah mesyurat untuk berbuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-oraang yang bertawakkal kepadaNya.”(Ali-Imran: 159)

Inilah sifat orang mukmin. Ini pula jalan hidup serta manhaj perilakunya.

Wallahu ‘alam….

Ulasan AliffBasri: Semoga kita termasuk dikalangan hamba-hambaNya yang sentiasa mengharapkan redhaNya….. 

Tidur adalah Ibadah

Oleh: Dr. Danial Zainal Abidin

Sumber: Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden (Buku karangannya)

Banyak kes-kes kemalangan dilaporkan berpunca daripada mengantuk kerana kurang tidur. Oleh itu, kerajaan Amerika menubuhkan sebuah yayasan yang bernama Yayasan Tidur Negara atau NationalSleep Foundation bagi mengkaji kaitan antara masalah tidur dengan produktiviti negara. Pada tahun 1995, Jabatan Pengangkutan Amerika melaporka, 100,000 kemalangan jalan raya dan industri di Amerika adalah berkaitan dengan masalah tidur dan ia melibatkan kehilangan 1,500 nyawa setahun. Suruhanjaya khas berhubung masalah ketiduran di Amerika melaporkan, masalah ini menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian sebanyak $100 hingga $150 bilion setahun.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan di Amerika atau National Transportation Safety Board mengenal pasti keletihan dan kurang tidur sebagai punca kemalangan laut yang melibatkan kapal tangki minyak Exxon Valdes pada bulan Mac 1989 dan World Prodigy pada bulan Jun 1989. Tumpahan minyak dari Exxon Valdes mencemari 1770 kilometer pantai Alaska dan tumpahan dari World Prodigy mencemari Narraganset Bay. Ada kemungkinan punca yang sama menyebabkan kemalangan udara yang melibatkan kapal terbang tentera DC-8 di Guantanamo Bay, Cuba, kemalangan nuklear di Three Miles dan Bhopal serta tragedi Kapal Angkasa Challenger. Memang tidak dapat dinafikan, kurang tidur menjejaskan kualiti pekerjaan justeru, menurut Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad berkata,”Apabila salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah dia tidur hingga hilang rasa mengantuknya. Apabila seseorang meneruskan solat ketika mengantuk berkemungkinan ketika sedang membaca istighfar tanpa disedari dia mengutuk dirinya sendiri.”

Islam menyuruh penganutnya tidur dan berehat supaya dengan itu segala ibadah dan aktiviti dapat dilakukan dengan baik. Di dalam sebuah hadis, diceritakan mengenai Abu Darda’ yang tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah secara berterusan. Menurut Bukhari, sahabatnya Salman al-Farisi menegurnya dengan berkata,”Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, badanmu mempunyai hak ke atas kamu, dan isterimu mempunyai hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya.” Semasa Nabi saw mendengar perkataan Salman ini, beliau berkata,”Benarlah Salman.”

Islam menganggap tidur sebagai salah satu ibadah dan menekankan ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Nabi Muhammad saw mementingkan kualiti ketika beramal dan tidur dapat membantu ke arah itu. Menurut Bukhari dan Muslim, Baginda saw pernah memasuki masjid dan ternampak seutas tali merentasi dua tiang. Selepas bertanya, nabi diberitahu tali itu adalah kepunyaan Zainab yang berpaut kepadanya ketika keletihan selepas melakukan solat. Lantas Nabi Muhammad saw berkata,”Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika cergas dan ketika mengantuk pergilah tidur.”

ULASAN AliffBasri: Sahabat-sahabat, dalam konteks hidup sebagai mahasiswa, kita tidak nafikan betapa perlunya mengorbankan waktu untuk menyiapkan ‘assignment’ atau sebarang tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Namun begitu, Islam amat menekankan kualiti ketika beramal. Sebab itulah Nabi menegur para sahabat yang tidak mahu tidur kerana mahu beribadah secara berterusan, walhal tidur juga sebenarnya adalah salah satu ibadah dalam Islam. Oleh itu, semoga kita mendapat tidur yang berkualiti dan dapat meningkatkan produktiviti. Bagaimana hendak mendapat tidur yang berkualiti? Insyaallah, saya akan berkongsi dengan sahabat-sahabat pada ‘posting’ yang akan datang. Semoga tidur kita diterima oleh Allah sebagai amal soleh.

“Jadikan Islam Sebagai Cara Hidup “

“Katakan TakNak Pada Riba’”

Islam Jamin Duniawi dan Ukhrawi

Mariah bersama suaminya yang banyak membantu mendalami Islam sebelum dan selepas penghijrahannya.



Sumber: www.utusan.com.my
WALAUPUN usia penghijrahannya belum pun menjangkau setahun tetapi jika dilihat daripada penampilan dan peribadinya, ia seolah-olah telah lama sebati dalam dirinya.

Menurut Maria a/p Bah Ujek, sebenarnya Islam itu telah lama dekat dengan dirinya. Ini kerana, sejak menuntut lagi, dia telah banyak bergaul dan bercampur dengan rakan-rakan yang beragama Islam.

“Semasa saya dihantar untuk menjalani latihan praktikal di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), saya menyewa dan tinggal serumah dengan orang Islam.

“Kebetulan pula rumah tersebut berhampiran dengan surau dan tiap-tiap hari saya akan mendengar azan dari surau berkenaan. Dari situ, bermulalah detik baru dalam hidup saya,” ujarnya tersenyum.

Tambah wanita berusia 22 tahun ini, oleh kerana selalu melihat rakan-rakannya menunaikan solat, hatinya juga telah terbuka dengan agama yang suci ini.

Katanya, selain itu, dia juga seronok melihat rakan-rakannya hidup di dunia ini yang mempunyai pegangan dan agama, berlainan sekali dengan dirinya pada ketika itu.

“Saya sebelum ini tidak mempunyai apa-apa pegangan agama, jadi ini sedikit sebanyak memudahkan saya menerima sesuatu yang baru dalam diri dan tidak perlu untuk membandingkannya dengan agama yang lain.

“Kehidupan saya sebelum Islam juga seperti biasa dan tidaklah sosial dan saya sentiasa berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam perkara yang tidak baik.

“Walaupun tidak mempunyai pegangan agama, ini tidak bermakna ia memberi peluang untuk saya melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Peribadi saya sebelum dan selepas Islam adalah sama cuma yang membezakan saya sekarang ialah agama yang saya anuti,” jelasnya yang kini selesa menggunakan nama Islamnya, Nur Mariah Bah Ujek.

Jelas bekas penuntut Kolej Pergigian Antarabangsa Pulau Pinang ini lagi, pengislamannya ini tidak mendapat banyak tentangan daripada ahli keluarganya.

“Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana niat suci saya ini tidak mendapat halangan keluarga cuma mereka menasihatkan saya supaya bersungguh-sungguh dan jangan hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

“Mereka takut saya tidak biasa dengan agama ini kerana sebelum ini kami tidak mempunyai pegangan dan tidak ada apa-apa yang menghalang kami.

“Jadi, mereka takut saya kembali kepada pegangan asal saya sebelum ini. Oleh itu, tugas saya pada ketika itu adalah memberi penerangan kepada mereka tentang agama ini dan saya bersungguh dengan penukaran agama ini.

“Akhirnya mereka setuju. Walaupun sedikit terkejut tetapi mereka menerimanya dengan rela hati,” ujar anak kelahiran Tapah, Perak ini.

Dia yang ditemani suaminya ketika ditemui di bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menjelaskan bahawa dirinya kini mendapat lebih ketenangan setelah mengucap dua kalimah syahadah pada 6 September 2007 lalu.

“Dalam Islam, kita tahu bahawa apa yang kita lakukan pasti ada garis panduannya agar kita tidak terkeluar dari landasannya. Itulah yang menjadikan masa depan saya lebih terjamin.

“Saya tidak pernah menjadikannya sebagai halangan dan rintangan buat saya untuk menjadi Muslim yang sejati. Itu semua membuatkan saya berasa lebih seronok dan tenang dalam agama ini,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Jamal Pathudin, petugas HUKM.

Kata Nur Mariah, suaminya banyak membantu dan memberi galakan kepadanya dalam mendalami agama Islam ini.

“Saya berkenalan dan berjumpa dengannya ketika melakukan latihan praktikal di HUKM. Pada waktu itu, suami adalah pekerja di hospital berkenaan.

“Apabila dia tahu tentang niat saya dan pengislaman ini, dia membelikan banyak buku agama untuk saya dan selepas berkahwin, dia sentiasa menemani saya setiap kali saya menghadiri kelas-kelas agama.

“Sebelum berkahwin, saya banyak belajar solat melalui buku panduan yang dihadiahkan olehnya. Namun setelah mendirikan rumah tangga, suami menghantar saya untuk menghadiri kelas-kelas agama seperti di Perkim ini dan di Sekolah Yayasan al-Quran untuk belajar Iqra’, solat dan fardu ain,” jelas anak kesembilan daripada 11 beradik ini lagi.

Menurut Mariah lagi, rakan-rakannya juga banyak mengajarnya dan memberitahu serba sedikit mengenai Islam.

“Apabila saya mengadu kepada mereka masalah-masalah yang saya hadapi, mereka banyak menitipkan nasihat-nasihat yang berguna dan selalu mengaitkannya dengan Islam.

“Jika dulu, rakan-rakan tempat saya mengadu tetapi kini pada-Nya saya mengadu selain kepada suami,” ujarnya tersenyum memandang suami tercinta.

Akui Pembantu Pembedahan Pergigian di Seremban ini lagi, puasanya yang baru lepas juga tidak mempunyai masalah walaupun pada ketika itu dia baru sahaja memeluk Islam.

“Saya telah mula belajar berpuasa melalui rakan-rakan. Kali pertama puasa, ia sangat meletihkan dan saya rasa ia sangat susah. Pada waktu itu, lebih kurang seminggu sahaja saya berpuasa.

“Tetapi sekarang alhamdulillah. Saya bersyukur kerana cubaan berpuasa sebelum Islam membolehkan saya menghabiskan puasa dengan baik dan tanpa halangan seperti orang lain.

“Saya berharap penghijrahan ini akan memberi saya seribu kemanisan dan ditetapkan hati untuk terus berada dalam agama ini,” katanya.

ULASAN: Semoga kita lebih menghargai Islam…..

Mahasiswa: Bebaskan Diri Dari Politik Sempit

Perdebatan demi perdebatan kian rancak didendangkan oleh kedua-dua pihak, baik dari kalangan politikus-politiku yang terbabit, pemerhati sehingga kepada barisan mahasiswa sama ada pro Barisan Nasional mahupun pro Barisan Alternatif.

Dunia sudah menginjak ke alaf 21, malangnya kita masih dihidangkan dengan pemikiran politik yang sempit yang diwarisi oleh zaman nenek moyang kita.Cerminan politik yang saya katakan sempit ialah apabila, masyarakat kita kadang-kadang terlalu menggila membicarakan kesalahan parti lawan mereka sehingga terlupa membincangkan akan perkara yang lebih penting iaitu apa perlu kita bantu parti untuk diperbaiki dan dimajukan walaupun sesudah pilihanraya umum.

Budaya melampau


Sikap kefanatikan dan ketaksuban secara membuta tuli akan mengundang parah yang membahayakan. Benar, masing-masing mempunyai pendirian, akan tetapi kita tidak boleh terlalu taat sehingga sujud menyembah bumi seandainya parti yang kita sokong itu terdapat lompangnya.Tradisi yang berlaku sekarang, adalah kita sentiasa melihat kita sahaja yang betul dan bermati-matian mengatakan lawan kita salah.Benar, kadang-kadang kita ingin memperbetulkan hujah dan menafikan tuduhan mereka yang salah, akan tetapi bukankah lebih baik dengan keadaan tidak terlalu emosi dan lebih berhemah laksana sikap seorang dewasa yang matang?Mahasiswa, satu entiti masyarakat yang dilihat mempunyai peranan besar dalam pembangunan dan kestabilan negara, seharusnya menjadi lebih berani dan adil apabila berdepan dengan persoalan politik sebegini.

Sebagai golongan intelek, mahasiswa seharusnya lebih matang dalam melontarkan pandangan mengenai dunia politik.Malangnya hari ini, masih lagi kita saksikan mahasiswa terkongkong dengan budaya berpolitik yang bersajikan seribu satu cacian dan kata-kata kurang sopan,mencerminkan akhlaq murahan dalam berpolitik.

Mahasiswa yang mempunyai pendirian, dan pro kepada mana-mana parti, dipersilakan untuk teruskan perjuangan anda. Walaubagaimanapun, selaku, agen perubah masyarakat, keberadaan mahasiswa sebagai pasukan penyokong kepada mana-mana parti seharusnya menjadi pendokong yang membantu bukannya hanya sebagai pak turut. Parti mereka sahaja yang terbaik, jangan disentuh mahupun ditegur.Memaki parti pihak lawan dengan bahasa yang kurang sopan masih lagi menjadi mainan lidah walaupun kadangkala apa yang diperkatakan adalah salah.

Mahasiswa perlu berani melangkah setapak dengan menjana pemikiran sebagai pendokong dan pembangkang dalam masa yang sama kepada parti yang disokong.


Pendokong dan pembangkang

Pendokong dan pembangkang yang dimaksudkan, ialah mahasiswa haruslah bertindak sebagai penasihat yang baik kepada parti politik yang disokong. Saya percaya, mahasiswa yang ingin mengambil berat hal-hal politik kebiasaannya turut mengambil berat akan hal-hal kenegaraan.Oleh itu, seandainya pemerintahan Negara berada dalam keadaan kurang memuaskan, tidak kira siapa pemerintah, sama ada mereka adalah parti yang disokong ataupun tidak, mahasiswa wajar berani bersuara dan berdiri menyatakan yang mana baik dan yang mana buruk. Mahasiswa seharusnya mengambil tempat untuk bersama-sama memikirkan apakah formula untuk memastikan kestabilan Negara untuk jangka masa panjang dan bukannya hanya tahu membaca gosip politik dari luar sahaja.

Sebagai suara muda, kita harus bertindak lebih rasional dan bijak, di mana, kita harus tegas membawakan isu hak-hak rakyat dan hak-hak setiap individu tidak kira siapa untuk dimajukan pada pemerintah, tidak kira sama ada pemerintah adalah parti yang kita sokong atau tidak. Pemikir politik yang bagus adalah pemikir yang mengutamakan keadilan dalam berprinsip dan mengutamakan kepentingan seluruh rakyat. Mereka akan berani bersuara demi sebuah kebenaran walaupun terpaksa menegur pemimpin yang di sayangi atau berdepan dengan berlainan perlaksanaan parti yang dikasihi.Marah bukan kerana benci tapi sayang.

Zaman pilihanraya adalah zaman memilih dan menilai , manakala masa pasca ini, adalah masa kita bertindak mengikut keadaan.Kita sudah terlalu lama bergantung kepada politik benci dan politik selapis.Hasilnya, kepada belia yang tidak tahu dan faham akan kesan politik pada generasi mereka akan datang seperti yang golongan yang kurang terlibat mendalami isu semasa, yang hanya memikirkan periuk nasi mereka semata , yang terperuk dengan budaya hedonisme dan yang berada atas pagar , merasa jelik dan alergi apabila mendengar perkataan politik.


Maka, jadilah ramai belia-belia kita tidak mencintai politik. Ini adalah satu polemik yang amat bahaya untuk kestabilan pertahanan Negara.

Puncanya hanya satu, pembawaan orang yang faham ilmu politik.Justifikasi, kepada seluruh mahasiswa yang memahami kepentingan politik, ayuh, beri nafas baru dunia politik. Bersama kita hentikan sikap fanatisme yang melampau dan bersedialah menggarap setiap inci perbezaan pendapat dari kalangan setiap lapisan masyarakat dengan baik.

Bersemangat dan penuh emosi adalah perlu, tetapi bila kena pada masanya.



Marilah bersama kita anjurkan politik kasih sayang dan politik cerdik untuk kita semua.Kedua- dua ciri ini harus dipayungi oleh politik akhlaq kerana tanpanya manusia hilang kemuliaan.Ayuh, bebaskan diri dari politik sempit.Mahasiswa mampu mengubah!